PFX sekolah pelumba Formula pertama di Asia Tenggara

View previous topic View next topic Go down

PFX sekolah pelumba Formula pertama di Asia Tenggara

Post by qaleq on Fri 27 Jun 2008, 7:58 pm

GEAR pertama Petronas di dalam sukan Formula 1 (F1) bermula pada 1995 melalui penajaan pasukan Red Bull-Sauber-Ford sebelum diperkemas dengan penajaan penganjuran F1 Grand Prix pertama di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), empat tahun kemudian.
Pecutan syarikat multinasional itu bukan hanya meletakkan jenama tersebut sebagai peneraju dalam industri minyak dan gas, malah memperkenalkan Malaysia sebagai hab sukan pemotoran ke peringkat global.
Sebelas tahun berlalu, keupayaan teknologi daripada penyelidikan berteraskan kuasa pecutan bahan bakar itu melebarkan satu lagi sayap Petronas melalui kelahiran sekolah perlumbaan, Petronas Formula Xperience (PFX).
Program pembangunan pemandu lumba Petronas Motorsports dengan kerjasama pasukan F1 BMW Sauber yang diperkenalkan pada Mei 2006 itu merupakan satu-satunya sekolah perlumbaan bertaraf antarabangsa di rantau ini.
PFX dikembangkan oleh Petronas selepas menyedari keperluan untuk memiliki pelumba dari kalangan anak-anak tempatan dan sebagai usaha untuk membawa sukan berprestij itu lebih dekat dengan masyarakat.
Cungkilan bakat muda
Pencarian 10 bakat baru pada setiap musim PFX dilakukan melalui rekod dan pencapaian cemerlang oleh pelumba-pelumba muda di dalam sukan lumba, khususnya go-kart.
Pemilihan remaja berusia 15 hingga 18 tahun dari kalangan juara-juara go-kart tempatan dibuat berdasarkan potensi yang dimiliki mereka untuk dikembangkan menjadi juara kereta lumba, khususnya F1.
Pegawai Komunikasi dan Pengurusan Sumber Petronas Motorsports, Farhani A. Aziz A. Ghani berkata, antara syarat utama yang dipertimbangkan adalah pengalaman dalam sukan berkenaan dan pemilikan lesen lumba daripada Persatuan Automobil Malaysia (AAM).
Katanya, melalui penajaan penuh daripada Petronas, setiap pelajar yang terpilih akan menjalani latihan teori dan praktikal yang dibahagikan kepada lapan sesi kelas selama enam bulan persekolahan di Trek Utara, SIC.
‘‘Setiap pelajar akan menerima satu persalinan pakaian lumba kalis api seperti baju, kasut, topi keledar serta sistem sokongan kepala dan leher,” katanya ketika ditemui Mega, baru-baru ini.
Kelengkapan dan sukatan pelumbaan yang digunakan pula mempunyai pengiktirafan daripada badan perlumbaan antarabangsa, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Latihan & tenaga pengajar
Sebelum dibenarkan memandu BMW FB02, pelajar akan diperkenalkan dengan asas-asas perlumbaan di litar menggunakan kurikulum Program Pendidikan dan Latihan Formula BMW seperti yang digunakan di Eropah.
Ketua Pengajar PFX tahun ini, Norman Simon berkata, setiap pelajar diajar cara pemanduan kereta dengan tepat, prosedur, peraturan lalu lintas dan pemahaman kepada isyarat bendera di litar.
‘‘Kemahiran yang diberi keutamaan adalah cara pecutan, penggunaan brek, penukaran gear, laluan lumba dan paling penting adalah gaya perlumbaan,” katanya.
Di bawah bimbingan mereka, pelajar juga didedahkan dengan pengetahuan mengenai komponen kereta, faktor aerodinamik, teknikal serta cara komunikasi dengan jurutera bagi memastikan penyelarasan paling optimum sesebuah kereta.
Selain latihan fizikal melalui kelas-kelas gymnasium, turut diberi perhatian adalah pembentukan personaliti bagi melatih tata-tertib bakal pelumba itu untuk berdepan dengan media dan peminat.
‘‘Sekolah ini bertujuan untuk melahirkan seorang pemandu lumba yang lengkap dalam satu pakej.
‘‘Sama ada mereka akan menjadi pelumba Formula atau kereta touring, semuanya akan bermula dari sini,” katanya.
Tenaga pengajar PFX terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam sukan lumba kereta. Antaranya ialah pemandu kereta GT, Jorg Muller, Chris Wasserman dan Dominic Schwager.
Norman yang mempunyai 20 tahun pengalaman melalui perlumbaan GP2, Super GT, kereta sport dan touring mengakui PFX sebagai landasan baik bagi Malaysia untuk melahirkan jaguh dalam sukan pemotoran antarabangsa.
‘‘Secara jujur saya sangat cemburu dengan pelajar-pelajar yang terpilih di dalam program ini kerana mereka bermula pada usia seawal 15 tahun.
‘‘Gabungan kemudahan di SIC dan keupayaan Petronas dalam memberi latihan terbaik sebenarnya tidak terdapat di negara-negara lain di rantau ini,” katanya.
Menurutnya, kemuncak PFX akan diakhiri dengan dua ‘perlumbaan sekolah’ di mana pelajar akan bersaing di antara satu sama lain pada kelajuan mencecah 220 kilometer sejam.
Pada 2006 acara tersebut menjadi salah satu daripada acara pembukaan Super Series Malaysia (MSS) dan perlumbaan Grand Prix A1.
Ujarnya, proses penilaian berdasarkan mata terkumpul dilakukan oleh tenaga pengajar dengan perakuan AAM selaku pihak bertanggungjawab dalam sukan lumba di negara ini.
Salah seorang pelajar tahun ini, Mohammad Afiq Ikhwan Mohamad Yazid, 16, berkata, peluang untuk mendapatkan pengetahuan daripada guru-guru berpengalaman di situ tidak akan disia-siakan.
‘‘Menggunakan rakaman video di litar, mereka akan menganalisis dan memperbetulkan setiap kesalahan yang dilakukan oleh kami semasa ujian praktikal,” katanya.

Bergelar pelumba
Sementara itu, Farhani memberitahu, tiga pelajar terbaik daripada kumpulan pertama (2006) telah diumumkan tahun lalu. Mereka adalah Melvin Moh Chun-Ho, Imran Zaharias Shaharom dan Johan Azmi yang kini bergelar pelumba.
Katanya, Melvin kini berada pada musim kedua perlumbaan Formula BMW Asia manakala Imran Zaharias pada musim pertama. Johan Azmi pula kini berada di Jepun di dalam perlumbaan kereta GT.
‘‘Kesemua mereka kini menerima sumbangan biasiswa daripada Petronas sebagai sokongan dalam ░░░░░ mereka dalam sukan ini,” ujarnya.
Melvin, 19, yang secara kebetulan hadir menyaksikan latihan PFX musim ini berkata, beliau kini menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang perlumbaan untuk mencapai cita-cita bergelar pemandu F1 suatu hari nanti.
Katanya, walaupun dalam masa yang agak singkat, pengalaman yang ditimba daripada mereka yang pakar dalam sukan itu membantunya memandu dengan lebih fokus dan berkeyakinan.
‘‘Berbeza dengan sukan lain, sukan lumba kereta menuntut keberanian yang tinggi selain kebolehan menumpukan perhatian selama berjam-jam di litar,” katanya.

qaleq
Pelajar Cemerlang
Pelajar Cemerlang

Number of posts : 1519
Age : 30
Location : Kuala Lumpur
Intake : Jan 2005
Registration date : 2008-04-22

View user profile http://www.qaleq.sosblog.com

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum