Qiamullail jadi sunat selepas asalnya fardu

View previous topic View next topic Go down

Qiamullail jadi sunat selepas asalnya fardu

Post by qaleq on Thu 29 May 2008, 7:01 pm

BAGI umat Islam solat lima waktu sehari semalam adalah ibadat fardu yang wajib dilaksanakan, malah ketika sakit pun, ada kaedah yang boleh diamalkan.

Rasulullah s.a.w ketika datang seorang lelaki dari kalangan penduduk Najd dan bertanya mengenai Islam, lalu Baginda menjawab, maksudnya: “Lima waktu solat sehari dan semalam.”


Begitupun, Islam memberikan galakan kepada umatnya untuk melakukan ibadat tambahan supaya dapat mendekatkan lagi diri dengan Yang Maha Esa seperti solat tahajud atau ibadat qiamullail.

Ahli fiqah seperti mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali bersepakat mengatakan ibadat qiamullail disyariatkan. Ia berdasarkan kepada al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

Malah, qiamullail menjadi amalan kepada generasi soleh terdahulu.

Ibn Hajar al-Asqalani menceritakan kisah gurunya al-Hafiz al-Iraqi: “Sesungguhnya aku melaziminya dan aku tidak pernah melihatnya meninggalkan qiamullail. Bahkan ia sudah menjadi kebiasaan baginya.”

Dalam al-Quran ada menjelaskan mengenai qiamullail sebagaimana diperhatikan dalam surah al-Isra, bermaksud: “Dan, dari sebahagian malam bertahajudlah kamu sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu menempatkanmu di tempat yang terpuji.” (al-Isra':79)

Saad bin Hisham bin Amir pernah meminta daripada Aisyah r.a: “Ceritakanlah kepadaku mengenai qiam Rasulullah.” Lalu Aisyah berkata: “Tidakkah engkau membaca ayat [wahai orang yang berselimut]?” Jawab Saad: “Ya, aku pernah baca.”

Aisyah menjelaskan: “Sesungguhnya Allah azzawajalla memfardukan qiamullail di awal surah ini. Lalu Nabi dan sahabatnya bangun melakukan qiamullail setahun. Allah menahan (tidak menurunkan) penutupnya (penutup surah ini) selama dua belas bulan di langit sehingga Allah menurunkan takhfif (keringanan) pada akhir surah ini. Maka qiamullail menjadi sunat selepas fardu.”

Berdasarkan ayat dari surah al-Muzammil jelas menunjukkan pada asalnya solat Tahajud adalah wajib, tetapi kemudian ia dinasakhkan dengan ayat selepasnya, bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui bahawasanya kamu bangun selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama seperduanya, atau sepertiganya; dan segolongan dari orang yang bersamamu; padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang.

“Ia mengetahui bahawa kamu tidak dapat mengira kadar masa itu, lalu Ia menerima taubatmu: maka bacalah apa yang mudah dari al-Quran.

“Ia juga mengetahui bahawa akan ada antara kamu orang yang sakit; dan yang lainnya orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari kurniaan Allah dan yang lainnya orang yang berjuang di jalan Allah.

“Maka bacalah apa yang mudah bagimu daripadanya; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas).

“Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan untuk dirimu, tentulah kamu akan mendapat balasannya di sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Ibnu Abbas pernah berkata: “Tatkala turun permulaan ayat al-Muzammil, mereka (kalangan sahabat) bangun mengerjakan solat dalam sebahagian bulan Ramadan, sehinggalah turunnya ayat akhir surah ini, sedangkan antara permulaan ayat dan akhirnya ialah tempoh setahun.”

Ulama berselisih pendapat dalam menentukan apakah qiamullail diwajibkan kepada Rasulullah. Ini hasil daripada perbezaan tafsiran terhadap ayat 79 dari surah al-Isra’.

Ibnu Abbas berpendapat kewajipan qiamullail dikhususkan kepada Rasulullah. Pendapat Ibnu Abbas ini disokong oleh ramai ulama seperti Imam Syafie dalam satu pendapatnya. Ia turut disokong oleh kebanyakan ulama mazhab Maliki dan ditarjih oleh at-Tabari dalam tafsirnya.

Pandangan ini berdasarkan ayat di atas, iaitu perkataan ‘tambahan’ bermaksud tambahan ke atas kefarduan yang sudah Allah tetapkan ke atasnya. Hadis Nabi mengukuhkan lagi pendapat ini iaitu hadis diriwayatkan at-Tabrani: “Tiga perkara ia adalah fardu ke atasku dan bagimu ia adalah sunat. Iaitu solat witir, siwak dan qiamullail.”

Pendapat kedua ialah pendapat Mujahid bin Jabir yang menegaskan qiamullail adalah sunat ke atas Nabi. Pendapat beliau turut disokong oleh as-Syafie dalam satu pendapatnya yang lain.

Bagaimanapun, qiamullail bagi umat Islam adalah satu ibadat sunat yang sangat dituntut dan tidak wajib. Banyak dalil yang menunjukkan kelebihan mengerjakannya sama ada daripada al-Quran, sunnah atau ijmak ulama.

Dalam hadis berbunyi: “Sebaik-baik solat selepas solat fardu ialah solat pada waktu malam.” (Hadis riwayat Muslim)

Orang yang mendirikan solat malam mendapat kebaikan dan kerahmatan, sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran, bermaksud: “Sesungguhnya orang yang bertakwa ditempatkan dalam syurga, dengan mata air mata air terpancar. Mereka mengambil apa yang diberikan oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan diakhir malam mereka beristighfar kepada Allah.” (az-Zariyat:15-18)

qaleq
Pelajar Cemerlang
Pelajar Cemerlang

Number of posts : 1519
Age : 30
Location : Kuala Lumpur
Intake : Jan 2005
Registration date : 2008-04-22

View user profile http://www.qaleq.sosblog.com

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum